10 Tragedi Pesawat Terhempas Yang NGERI. | SINAR HARIANI : Perjalanan merentas benua yang dahulunya mengambil masa selama beberapa bulan kini menjadi lebih singkat ketika bermulanya penggunaan pesawat. Suatu ketika dahulu, tragedi pesawat terhempas banyak berlaku apabila pesawat mengalami kerosakan. Antara ‘dalang’ utama yang pernah tercatat dalam sejarah nahas ini ialah tingkap pesawat yang berbentuk petak.
Dari masa ke masa, tragedi pesawat terhempas mula berkurangan apabila kajian dilakukan bagi menambah baik reka bentuk pesawat. Namun ini tidak bermakna zaman kini, tiada lagi pesawat yang terhempas. Hal ini kerana kejadian pesawat terhempas yang pernah berlaku turut mempunyai sebab yang lain seperti kesilapan manusia dan kerosakan teknikal lain.
Selain tragedi terbaru yang melibatkan pesawat Azerbaijan, Malaysia turut pernah dikejutkan dengan tragedi pesawat terhempas di Elmina.
1 & 2. Pesawat 4805 KLM Royal Dutch Airlines dan Pesawat 1736 Pan Am
Nahas yang berada di tempat kedua dan juga pertama merupakan tragedi yang berlaku pada 27 Mac 1977. Nahas ini melibatkan pertembungan antara dua pesawat ketika berada di lapangan terbang. Pesawat 4805 KLM Royal Dutch Airlines dan Pesawat 1736 Pan Am bertembung di landasan terbang apabila berlaku salah faham keadaan semasa.
Kedua pesawat pada awalnya dijadualkan untuk mendarat di Lapangan Terbang Las Palmas Gran Canaria terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Tenerife-Los Rodeos apabila berlaku letupan bom di terminal penumpang Las Palmas.
Susulan itu, pesawat KLM dan Pan Am mendarat di Tenerife sementara menunggu lapangan terbang Las Palmas dibuka semula. Apabila keadaan telah bertenang, pesawat KLM didapati berlepas tanpa kebenaran dan tidak mematuhi arahan “standby for take off”. Selain itu, pesawat Pan Am yang berada di susur keluar yang salah akibat juruterbang tidak dapat membaca papan tanda disebabkan kabus juga menjadi salah satu punca. Keadaan ini menyebabkan pesawat KLM melanggar pesawat Pan Am yang masih menggunakan landasan.
Akibat pelanggaran tersebut, pesawat Pan Am terbelah dua dan hancur. Pesawat KLM terhempas akibat hilang kawalan sejauh 150 meter dari tempat pelanggaran dan meluncur sejauh 300 meter lalu terbakar. Tragedi ini meragut semua 248 nyawa dalam pesawat KLM serta 335 daripada 396 nyawa dalam pesawat Pan Am.
3. Pesawat JA8119 Japan Air Lines
Tragedi pesawat terhempas paling ngeri di tangga ketiga merupakan nahas yang berlaku pada 12 Ogos 1985. Tragedi ini mengorbankan 520 nyawa daripada 524 penumpang dan kru. Pesawat JA8119 Japan Air Lines melanggar permatang Osutaka dan terbakar akibat hilang kawalan ketika berada di ketinggian 23,900 kaki. Biarpun kru berjaya mengawal pesawat di ketinggian 6600 dan pesawat naik ke 13,400 kaki, namun pesawat kembali menjunam dan mengakibatkan berlaku perlanggaran tersebut.
4 & 5. Pesawat SV763 Saudi Arabian Airlines
Berada di tangga kelima dan keempat, pertembungan antara Pesawat SV763 Saudi Arabian Airlines dengan Pesawat 1907 Kazakhstan Airlines di udara mengakibatkan kematian semua 349 penumpang dan kru. Kedua pesawat ini bertembung apabila pesawat Kazakhstan berada di ketinggian yang salah akibat juruterbang kurang memahami penggunaan Bahasa Inggeris dalam arahan ATC. Kedua-dua pesawat bertembung dan meletup di udara, kemudian terhempas di kawasan pertanian terbiar.
6. Pesawat 981 Turkish Airlines
Sementara itu, tragedi nahas pada 3 Mac 1974 yang mengorbankan kesemua 346 penumpang serta kru berada di tangga keenam. Nahas ini melibatkan Pesawat 981 Turkish Airlines yang dijadualkan ke Lapangan Terbang Heathrow, London dari Lapangan Terbang Yesilköy Istanbul. Ia dijadualkan melakukan persinggahan di Lapangan Terbang Orly, Paris. Pesawat ini terhempas di hutan Ermenonville berhampiran Paris.
7. Pesawat 182 Air India
Tangga ketujuh tragedi nahas pesawat terhempas paling ngeri menyaksikan tragedi nahas Pesawat 182 Air India yang mengorbankan 329 nyawa. Pesawat ini dari Vancouver ke Toronto, Montreal, London dan berakhir di Delhi. Ketika berada di altitud 31,000 kaki pada 23 Jun 1985, sebuah bom meletup di bahagian kargo dan mengakibatkan pesawat Boeing 747-237B itu musnah. Nahas berlaku ketika pesawat tersebut berada di ruang udara Ireland. Apabila pesawat meletup, ia menjunam masuk ke Lautan Atlantik.
Tragedi ngeri ini melibatkan kehilangan nyawa 268 warga Kanada, 27 warga British dan 24 warga India. Ia tercatat sebagai pembunuhan terbesar dalam sejarah Kanada yang melibatkan serangan pengganas sebelum berlaku tragedi 11 September 2011. Namun, sehingga ke hari ini, nahas ini kekal sebagai tragedi pengeboman pesawat paling menyayat hati.
8. Pesawat SV163 Saudi Arabia Airlines
Di tangga kelapan, tragedi melibatkan Pesawat SV163 Saudi Arabia Airlines yang berhenti sementara di Riyadh selepas penerbangan dari Karachi, meneruskan penerbangan ke Jeddah. Selepas enam minit 54 saat berlepas, lampu amaran menyala berikutan terdapat asap di bahagian kargo. Pesawat berkenaan berpatah balik ke Riyadh pada jam 18:20 GMT. Dua minit selepas itu, asap mula memasuki ruangan penumpang.
Beberapa minit kemudian, pendikit enjin nombor 2 tersekat dan api mula merebak ke dalam kabin pesawat berkenaan. Disebabkan berlaku pergaduhan antara penumpang, kapten mengarahkan semua untuk kekal di tempat duduk masing-masing. Setelah enjin nombor 2 dimatikan, kapten mengarahkan kru untuk tidak mengosongkan kabin.
Pesawat berkenaan berjaya mendarat dan kru memberitahu menara yang mereka akan mengosongkan pesawat setelah enjin-enjin dimatikan. Namun begitu, penumpang masih tidak keluar daripada pesawat apabila enjin telah dimatikan. Disebabkan itu, pasukan penyelamat cuba membuka pintu dari luar.
Selepas pintu berjaya dibuka, mereka mendapati ruang dalaman pesawat telah terbakar. Menurut laporan bedah siasat yang dilakukan terhadap penumpang bukan warga Arab Saudi, mereka telah meninggal dunia akibat lemas terhidu asap yang merebak. Peristiwa ini dicatatkan berlaku pada 19 Ogos 1980.
Tragedi ini dipercayai akibat kegagalan juruterbang mempersiapkan kru untuk pengosongan kecemasan.
9. Pesawat MH17 Malaysia Airlines
Kejadian tembakan Pesawat MH17 Malaysia Airlines di timur Ukrain pada 17 Julai 2014 merupakan tragedi nahas pesawat paling ngeri di tangga kesembilan. Nahas ini mengorbankan kesemua 298 penumpang dan kru.
Berlepas dari Lapangan Terbang Amsterdam-Schipol, Belanda menuju ke Kuala Lumpur, pesawat ini ditembak jatuh ketika berada di ketinggian 30,000 kaki.
10. Pesawat Iran Air
Nahas pesawat paling ngeri di tangga ke-10 ialah tragedi Pesawat 451 Iran Air yang berlepas dari Tehran dan mendarat di Bandar Abbas sebelum meneruskan perjalanan ke Dubai sebagai Pesawat 655. Dua minit selepas berlepas dari Bandar Abbas, pesawat tersebut ditembak dengan peluru berpandu setelah melepasi Mobet. Ekor dan sebelah sayap pesawat itu patah disebabkan letupan berkenaan mengakibatkan pesawat tersebut hilang kawalan dan menjunam ke dalam laut.
Menurut laporan, peluru berpandu itu ditembak oleh kapal kruiser Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Vincennes. Ketika itu, USS Vincennes sedang beroperasi bersama kapal frigat USS Elmer Montgommery dan USS John H Sides.
Tembakan yang dilepaskan merupakan kesilapan pihak tentera mengenal pasti pesawat penumpang yang disangka pesawat F-14 milik musuh.